“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
TANDA - TANDA KITA TAKUT KEPADA ALLAH S.W.T.
Abu-Laits berkata: "Tanda - tanda takut kepada Allah S.W.T. itu kelihatan dalam 7 perkara".
1) Lisannya.
Dia menghindarkan daripada dusta, menyebar fitnah, berbual kosong dan banyak bercakap. Malah menyibukkan diri dengan zikir, membaca Al-Quran dan muzakarah ilmu.
2) Hatinya.
Dia membuang rasa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya. Lantaran kedengkian dapat menghapuskan kebaikan. Sebagaimana Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
"Hasad itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu".
3) Pandangannya.
Maka dia tidak suka memandang pada hal -hal yang haram. Tidak pula terpikat pada dunia. Tetapi dia memandang dengan mengambil iktibar. Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
"Barangsiapa memenuhi matanya dengan perkara haram, maka Allah S.W.T. akan memenuhinya daripada api pada hari kiamat".
4) Perutnya.
Maka perutnya tidak diisi makanan yang haram. Itu dosa besar. Sebagaiman Nabi S.A.W. bersabda:
"Manakala sesuap daripada barang haram masuk ke perut seseorang, maka seluruh Malaikat di langit dan di bumi melaknatinya selama sesuatu atau seteguk barang itu berada di dalam perutnya. Jika dia mati dalam keadaan demikian, maka tempatnya di Neraka."
5) Kedua tangannya.
Dia tidak menggunakan untuk perkara yang haram. Tetapi hanya menggunakan untuk taat kepada Allah S.W.T.
6) Langkah kakinya.
Dia tidak berjalan untuk maksiat. Tetapi hanya melangkah untuk taat kepada Allah S.W.T., mencari keredhaaan-Nya serta untuk bergaul dengan para ulama, orang-orang soleh.
7) Ketaatannya.
Dia menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaaan Allah S.W.T.
Takut pada riak dan munafik.
Barangsiapa melakukan 7 perkara tersebut, maka dia termasuk kategori orang-orang yang dikasihi oleh Allah S.W.T.